Novel Songket Berbenang Emas : Persoalan

PERSOALAN

1.         Persoalan tentang kejayaan hasil daripada kegigihan dalam pelajaran.

Dahlia tetap mengutamakan pelajarannya dengan meminjam nota dan bertanyakan kepada Kavita dan Siti Wangi walaupun terpaksa membantu ayahnya menguruskan rumah tangga setelah ibunya di hantar ke hospital untuk menerima rawatan.

2.         Persoalan kemiskinan dalam masyarakat kampung.

Dalam dunia moden hari ini, masih ada masyarakat kampung yang masih miskin dan memerlukan bantuan untuk menjalani kehidupan.  Contohnya keluarga Embong yang masih miskin dan terpaksa berhutang dengan Tauke Lim untuk membeli barang-barang keperluan harian.

3.         Persoalan berani bertindak dalam menghadapi situasi yang bahaya.

Embong berjaya mengalahkan ular sawa yang cuba membelitnya sewaktu memotong kelapa sawit di ladang.

4.         Persoalan keinsafan selepas menyedari kesilapan diri.

Nek Kiah akhirnya insaf setelah Dahlia yang selama ini dibencinya telah menjaga dan merawatnya ketika terlantar sakit.  Begitu juga dengan Abu Bakar yang selalu berpeleseran sehingga sanggup mencuri kambing ayahnya berubah sikap apabila ditempelak oleh rakan-rakannya sendiri.

5.         Persoalan bantu-membantu dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh orang lain.

Kavita membantu Dahlia mengulang kaji pelajaran dengan memberikan nota pelajaran sepanjang ketidakhadirannya ke sekolah.  Najib cuba menghulurkan bantuan kewangan semasa Nek Kiah beria-ia ingin menjual tanahnya yang menjadi tempat tinggal Dahlia dan keluarganya.

6.         Persoalan kepentingan ilmu bagi mengubah taraf hidup.

Embong amat mementingkan pelajaran dan sering menasihatkan anak-anaknya agar belajar bersungguh-sungguh.  Embong mengharapkan anak-anaknya dapat mengubah taraf hidup keluarga setelah berjaya dalam pelajaran mereka nanti.

7.         Persoalan pengamalan ilmu hitam dalam kalangan masyarakat.

Penemuan dua biji telur ayam berwarna hitam yang berisi jarum, cincin akek, butiran pasir dan dua batang paku oleh Abu Bakar di bawah rumah mereka menunjukkan bahawa masyarakat masih mengamalkan ilmu hitam untuk menganiaya orang lain.

8.         Persoalan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas.

Haji Sulaiman telah menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua kampung dengan baik.  Haji Sulaiman banyak membantu keluarga Embong walaupun orang kampung menyisihkan mereka.  Haji Sulaiman mencadangkan agar Saleha dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

9.         Persoalan semangat kejiranan walaupun berlainan bangsa.

Tauke Lim banyak membantu keluarga Embong yang sering menghadapi masalah kewangan.  Tauke Lim membenarkan Embong berhutang di kedainya.  Tauke Lim juga menghulurkan RM300 untuk Dahlia yang dapat melanjutkan pelajaran ke Jepun. 

10.       Persoalan pengekalan identiti bangsa dan jati diri.

Azhari menghadiahkan sepasang kain songket berbenang emas kepada Dahlia sebagai tanda kenang-kenangan dan berpesan kepada Dahlia agar sentiasa mengingati asal-usulnya sebagai orang Melayu

11.       Persoalan jodoh pertemuan di tangan Allah.

Dahlia menyerahkan jodohnya dengan Azhari kepada Allah. Dia mahu meneruskan pelajarannya demi membaiki taraf hidup keluarganya. 

12.       Persoalan kasih sayang antara keluarga.

Embong amat menyayangi isterinya, Saleha dan anak-anaknya. Beliau sanggup bekerja dari pagi hingga ke malam untuk menyara keluarganya. Beliau tetap menyayangi isterinya walaupun Saleha menghidapi tekanan mental. Dahlia amat menyayangi emaknya. Dahlia sanggup ponteng sekolah untuk menziarahi emaknya yang dirawat di Hospital Permai. Dahlia sangat menyayangi adik-adiknya, Melati, Anggerik, Mawar dan Abu Bakar. Dahlia sanggup keluar dari asrama dan berulang-alik dari rumah ke sekolah kerana mahu menguruskan keperluan adik-adiknya.

13.       Persoalan kepentingan ilmu dalam kehidupan.


Embong sedar akan kepentingan ilmu kepada anak-anaknya. Oleh sebab itu, beliau marah apabila mendapat tahu Dahlia mahu berhenti sekolah kerana mahu menjaga adik-adiknya. Beliau mahu Dahlia meneruskan persekolahannya, walaupun Embong sendiri tidak tahu cara untuk menyelesaikan masalahnya setelah isterinya dirawat di hospital. Embong mengatakan bahawa beliau sanggup bersusah payah untuk memastikan anak-anaknya berjaya dalam pelajaran. 


.